Like Blog Ini...

Tuesday, April 10, 2012

Faktor Risiko dan Langkah Pencegahan Talasemia

Faktor Risiko dan Langkah Pencegahan.

Mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidapi Talasemia major atau merupakan pembawa kepada ciri ini adalah sangat berisiko.

Langkah Mencegah Talasemia Major

1. Menjalani penyaringan bagi yang mempunyai sejarah keluarga menghidap Talasemia.
2. Jika anda mempunyai ciri Talasemia dan ingin berkahwin, anda perlu bersikap terbuka dan berbincang mengenainya dengan pasangan anda. Bakal pasangan anda perlu menjalani ujian darah untuk mengetahui sama ada beliau juga mempunyai ciri Talasemia atau tidak.
3. Jika kedua-dua pasangan membawa ciri Talasemia, mereka perlu mendapatkan nasihat dan keterangan lanjut mengenainya dengan menghadiri kaunseling genetik. Kini terdapat ujian yang boleh dilakukan semasa awal kehamilan untuk mengetahui sama ada janin menghidapi Talasemia major ataupun tidak.



Penjagaan Bagi Pesakit Talasemia

1. Ingatkan kanak-kanak supaya mengelakkan makanan dengan kandungan ferum yang terlalu tinggi seperti daging merah dan makanan lain yang kaya ferum seperti hati. Ingatlah bahawa ferum dalam daging lebih mudah diserap berbanding sumber-sumber ferum yang lain seperti bijirin dan roti.

2. Sesetengah makanan seperti jus oren boleh meningkatkan penyerapan ferum manakala yang lain seperti teh, hasil tenusu dan kopi boleh mengurangkan penyerapannya. Bagaimanapun, jika anda menggunakan Desferral, anda disyorkan mengambil 250mg vitamin C selepas memulakan infusi untuk meningkatkan keluaran ferum.

3. Kanak-kanak dinasihatkan untuk mendapatkan imunisasi mengikut jadual terutama pelalian Hepatitis B untuk melindungi mereka daripada jangkitan akibat pemindahan darah seperti Hepatitis B.

4. Sesetengah kanak-kanak yang lebih tua terutama yang telah baligh cenderung mendapat ulser kaki terutamanya di keliling buku lali. Ini disebabkan kekurangan bekalan oksigen pada kulit akibat anemia dan peredaran darah yang lambat apabila seseorang itu berdiri atau duduk. Dengan itu mereka yang mengalami ulser ini dinasihat mengelakkan diri dari terhantuk buku lali dan memakai stoking dengan melipat bahagian atasnya atau memakai gelung dari kain khas yang tebal untuk melindungi tulang kering.

5. Tingkatkan peredaran darah sebaik mungkin di bahagian buku lali. Ini boleh dilakukan dengan meninggikan kaki melebihi paras jantung. Tidur dengan kaki ditinggikan sedikit dan meletakkan kaki di atas kerusi/sofa ketika berehat, contohnya semasa menonton televisyen.

6. Kebersihan dan kesihatan individu mestilah memuaskan dan kebersihan perlu dipelihara terutama di tempat Desferral disuntikkan/dimasukkan ke dalam badan.

7. Jangan lambat mendapatkan rawatan susulan di hospital atau pemindahan darah. Adalah penting bagi pesakit mengekalkan paras hemoglobin purata sehampir normal yang mungkin supaya tumbesaran yang hampir normal juga diperolehi. Tumbesaran dan perkembangan pesakit mesti diawasi dengan teliti.

8. Talasemia merupakan penyakit yang memerlukan pemahaman tentang genetik dan fisiologi. Adalah penting untuk individu yang mengalaminya dan pembawa ciri ini menjadi ahli Persatuan Talasemia yang aktif bagi menimba pengetahuan dan maklumat terkini daripada mereka yang berkelayakan.

No comments: