Like Blog Ini...

Tuesday, June 10, 2014

Nikmat Rezeki Yang Diberkati...

Saya masih teringat-ingat ungkapan seorang ustaz di masjid UTM tempoh hari. Kuliah maghrib yang disampaikan pada hari itu amat menyentuh hati. Ianya berkenaan dengan nikmat rezeki. Katanya, jumlah rezeki seseorang manusia itu telahpun ditentukan sebelum manusia itu dilahirkan lagi.

Seseorang insan itu tidak akan mati selagi mana dia belum disempurnakan rezeki yang ditakdirkan kepadanya. Alangkah ruginya diri, masih gelisah dengan duit gaji yang seolah-olah tidak pernah cukup. Benarlah kata junjungan nabi kita,
Sesungguhnya tidak ada yang dapat memenuhkan perut anak Adam itu kecuali tanah...

Apabila direnung kembali, sebenarnya amat banyak nikmat yang telah kita nikmati. Malangnya hati ini masih buta daripada melihat dan mensyukuri nikmat yang telah dinikmati. Para ulama dahulu pernah mengatakan bahawa rezeki sebenarnya bukanlah hanya berbentuk wang ringgit. Bahkan nikmat kesihatan, ketenangan dan nikmat cinta itu juga merupakan rezeki yang wajar kita syukuri...

Kita diseru bekerja mencari rezeki untuk menampung keperluan hidup diri dan keluarga. Sesungguhnya tuhan tidak menyukai orang yang malas. Akan tetapi, tuntutan ini perlulah diseimbangkan dengan amal ibadat yang bakal menjadi penolong kita di akhirat kelak. Dunia ini ibarat tempat bercucuk tanam. Apa yang kita tanam, itulah yang bakal kita tuai. Kebaikan yang kita lakukan, kebaikan jugalah yang bakal kita perolehi... Kita sanggup bekerja seharian untuk mencari rezeki di dunia, malangnya diri ini tidak pernah berhajat untuk mencari amalan yang menjadi bekal untuk kehidupan akhirat...

Dunia ini fana, akhirat jugalah yang kekal abadi tanpa penghujung...

No comments: