Like Blog Ini...

Tuesday, May 20, 2014

Dunia Ini Sementara...

Rasulullah s.a.w. pernah mewasiatkan sebuah hadis yang indah kepada salah seorang sahabatnya. Sabda baginda,

Bekerjalah untuk duniamu sekadar mana engkau akan tinggal di dalamnya. Dan beramallah untuk akhiratmu sekadar mana engkau akan berada di sana. Dan beramallah kerana Allah sekadar mana engkau berhajat kepadanya.
Dan buatlah sebarang amalan yang akan memasukkan engkau ke dalam api neraka sekadar mana engkau sabar menahan seksaannya..

Tempoh masa kita berada di dunia ini sebenarnya amatlah singkat jika dibandingkan dengan tempoh masa yang kekal abadi di akhirat kelak. Selagi mana kita masih diberi kesempatan untuk beramal, gunalah masa yang ada dengan sebaiknya...

Apabila masa kita telah berakhir, pnyesalan kita ketika di akhirat kelak tidak berguna lagi.. sekadar peringatan buat diri yang sering lupa...

Sunday, May 11, 2014

Erti Sebuah Kematian...

Wahai saudaraku yang dicintai,

Sesungguhnya hidup di dunia ini, hanyalah sekadar beberapa detik dan ketika. Bila tiba detik kematian, akan habislah segala kesenangan dan kesusahan dunia yang sementara ini. Percayalah, kehidupan dunia ini amatlah sedikit berbanding kehidupan akhirat.

Diceritakan bahawa suatu ketika, seorang manusia yang paling susah dan derita di dunia ini dicelup ke dalam syurga. Kemudian dia ditanya, "wahai fulan, pernahkah kamu merasai derita sewaktu di dunia dahulu". Dia menjawab, "bahkan, aku tidak pernah merasai kesusahan sewaktu di dunia dahulu".

Kemudian seorang yang paling bahagia di dunia telah dicelup ke dalam neraka, kemudian dia ditanya, "wahai fulan, pernahkah kamu merasai kesenangan dan keseronokan sewaktu di dunia dahulu". Dia kemudian menjawab, "bahkan, aku tidak pernah merasai bahagia sedikitpun sewaktu di dunia dahulu".

Sesungguhnya dunia ini hanyalah sekadar hiburan dan permainan sahaja. Dan kematian akan datang menjemputmu walau di mana kamu berada. Insafilah diri, kenangkanlah segala dosa dan maksiat yang pernah kamu lakukan. Wahai orang yang melampaui batas, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat dan keampunan Allah.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,

sesungguhnya orang yang paling bijak, adalah orang yang selalu mengingati mati, dan sentiasa mempersiapkan bekal untuk menghadapi kematiannya.

Sesungguhnya, tuhan tidak memandang kepada rupa paras kamu, tidak juga kepada harta benda kamu. Akan tetapi, tuhan memandang kepada hati dan amalan kamu.

Kalaulah kita mati pada detik dan ketika ini, di manakah diri kita pada pandangan Allah s.w.t.

Friday, May 9, 2014

Indahnya Cinta Bersulam Iman...

Cinta pada bunga, bunga akan layu,
Cinta pada manusia, dia akan mati,
Cinta pada Allah, itulah yang akan kekal abadi...

Wahai saudaraku yang tercinta,

Malaikat Jibrail a.s. pernah berpesan pada Nabi Muhammad s.a.w. "Hiduplah engkau sesuka hatimu kerana engkau pasti akan mati, dan cintailah apa sahaja yang engkau kehendaki kerana engkau pasti akan berpisah dengannya. Dan buatlah apa sahaja yang engkau kehendaki, kerana engkau pasti akan dibalas mengikut amal perbuatanmu..."

Seorang ulama pernah berkata, "Sesungguhnya aku telah melihat kepada makhluk-makhluk di dunia ini, lalu aku mendapati bagi setiap makhluk ini mesti ada sesuatu yang dikasihinya. Aku melihat pula bahawa ada sebahagian daripada sesuatu yang dikasihi itu hanya menemani kekasihnya sehingga ke masa ia sakit sahaja, dan ada pula yang sentiasa menemaninya sehingga ke dalam kubur. Manakala yang lainnya akan terus balik dan tidak mahu untuk bersama-sama dengan kekasihnya di dalam kubur.

Lalu aku terfikir, dan akhirnya aku membuat kesimpulan bahawa sebaik-baik kekasih ialah kekasih yang setia mengiringi kekasihnya ke dalam kubur dan menjadi penghibur dan teman setia.

Dan tidak ada kekasih yang bersedia untuk berbuat demikian selain daripada amalan yang salih, maka aku terus menjadikan amalan salih ini sebagai teman dan kekasihku, supaya ia dapat menerangi kuburku, dan menghiburkan hatiku. Dan sudah pasti ia tidak akan meninggalkan aku duduk bersendirian..."

Sebagai insan biasa, pasti kita tidak dapat lari daripada perasaan cinta. Namun jangan sampai terleka dengan cinta dan tanggungjawab yang lebih utama. Cintailah sesiapa sahaja kerana Allah, kerana cinta yang diredhai Allah, pasti membawa kita kepada kejayaan di dunia dan di akhirat...

Pss: ditulis untuk ibu yang paling saya sayang, dan untuk kawan yang paling saya cintai...

Monday, May 5, 2014

Waktu Itu Ialah Kehidupan...

Wahai saudaraku yang tercinta,

Tanda berpalingnya Allah taala daripada seseorang hamba ialah apabila ia selalu mengerjakan perkara yang tidak berfaedah. Dan seandainya ada satu saat sahaja daripada umurnya yang telah digunakan pada yang bukan merupakan tujuan hidupnya (iaitu beribadah kepada Allah) maka layaklah panjang penyesalannya (pada hari kiamat nanti),

Dan siapa yang umurnya lebih daripada empat puluh tahun sedangkan kebaikannya masih belum dapat melebihi kejahatannya, maka layaklah ia mempersiapkan dirinya untuk memasuki api neraka...

Sebenarnya sekadar ini sudah cukup untuk menjadi nasihat kepada semua orang yang berilmu...


Saturday, May 3, 2014

Jangan Berhenti Berlari...

Wahai saudaraku yang tercinta,

Jangan berhenti berlari,sehingga kedua kakimu berada di dalam syurga...

Selama mana engkau tidak beramal, maka selama itulah engkau tidak mendapat pahala...

Siapa yang menyangka bahawa tanpa usaha ia akan dapat masuk ke dalam syurga,
maka orang itu hanya berangan-angan sahaja. Dan siapa yang menyangka bahawa hanya dengan usaha dan amalan sahaja ia akan masuk ke dalam syurga maka orang itu telah merasa kaya daripada rahmat Allah taala...

Telah bersabda Rasulullah saw,

Hisablah dirimu sebelum kamu dihisab, dan timbanglah amalanmu sebelum kamu ditimbang (pada hari akhirat kelak)...

Orang yang bijak itu ialah orang yang sentiasa menghitung dirinya dan beramal
untuk kehidupan sesudah matinya. Dan orang yang bodoh ialah orang yang selalu memperturutkan kehendak nafsunya dan hanya banyak berangan-angan untuk mendapat kemurahan Allah taala...

Andai diri ini masih diberi peluang untuk hidup di bumi tuhan, teruslah berlari mengejar keredhaan Allah taala...


Andai kita mati pagi ini...